Senator Hui Ying sokong sepenuhnya Usul Pengisytiharaan Harta Ahli Dewan Negara

Ucapan Usul Pengisytiharan Harta Ahli Dewan Negara di bawah Peraturan Mesyuarat 26(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara oleh YB Senator Lim Hui Ying pada 22 Julai 2019, Isnin di Persidangan Dewan Negara.

Tan Sri Yang Di Pertua,

Terima kasih saya ucapakan atas peluang untuk menyertai perbahasan Usul Pengisytiharaan Harta Ahli Dewan Negara di bawah Peraturan Mesyuarat 26(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

Terlebih dahulu, ingin saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada Kerajaan Persekutuan yang mempunyai keazaman politik (dengan izin – political will) untuk melaksanakan reformasi institusi dengan memperkenalkan pengisytiharaan harta untuk Ahli-ahli Parlimen.

Di dalam konteks negara kita, perundangan yang sedia ada tidak mewajibkan seseorang wakil rakyat untuk mengisytiharkan harta mereka. Ini adalah berbeza dengan penjawat awam yang wajib mengisytiharkan harta di bawah Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Untuk Pakatan Harapan, pengisytiharan harta bukanlah merupakan sesuatu yang baru di mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan dasar tersebut.

Dasar pengisytiharaan harta yang diguna pakai oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang merujuk kepada format pengisytiharaan harta penjawat awam seperti mana yang disebutkan tadi dan dikendalikan oleh Juru Audit KPMG. Dasar pengisytiharaan harta dimulakan di Pulau Pinang oleh jawatan utama kerajaan iaitu Ketua Menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dan dasar ini selanjutnya diperluaskan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri Kerajaan.

Untuk pelaksanaan dasar pengisytiharaan harta bagi Ahli-ahli Parlimen, selain daripada format yang digunakan oleh Ahli Parlimen iaitu pengisytiharaan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), ingin saya mencadangkan supaya format yang digunakan boleh merujuk kepada cara yang sama seperti mana yang digunakan untuk penjawat awam, dan juga dilaksanakan audit untuk memastikan pengisytiharaan tersebut dilakukan secara telus.

Tan Sri Yang Di Pertua,

Secara keseluruhan konsep pengisytiharaan harta adalah untuk memastikan bahawa pentadbiran kerajaan dapat dikendalikan dengan tulus dan untuk kita mengelakkan negara kita dilabelkan sebagai kerajaan kleptokrasi lagi. Dengan perbandingan deklarasi harta pada permulaan dan akhir penggal, kita boleh mengesan peningkatan harta yang tidak boleh dijustifikasikan (dengan izin – exposure of unjust enrichment).

Namun demikian, apakah definasi untuk kita mengenal pastikan sesuatu tambahan harta tersebut adalah tidak boleh dijustifikasikan? Apakah kadar untuk menentukan tambahan harta tersebut yang boleh disifatkan sebagai peningkatan harta yang tidak dapat dijustifikasikan?

Sebagai contoh: bagaimanakah kita dapat menentukan seseorang wakil rakyat tersebut telah mengalami peningkatan harta melalui cara yang tidak patut? Adakah daripada tambahan bilangan kenderaan yang dimiliki atau hartanah yang dimiliki? Apakah kriteria yang patut kita mempertimbangkan di dalam mengenalpasti sekiranya peningkatan harta seseorang wakil rakyat tersebut tidak dapat dijustifikasikan?

Sehubungan dengan itu, ingin saya mencadangkan supaya kita dapat melibatkan Ketua Audit Negara untuk mengenal pasti kadar atau formula yang berkenaan untuk menjadikan keseluruhan dasar pengisytiharaan harta ini lebih telus dan akauntabel, dan susulan daripada itu tindakan perundangan yang perlu diambil ke atas mereka yang tidak dapat menjelaskan peningkatan kekayaan mereka selain daripada gaji atau pendapatan yang sepatutnya diterima oleh seseorang wakil rakyat tersebut, agar kita dapat memastikan dasar pengisytiharaan harta ini dapat mencapai tujuan utamanya.

Saya yakin dengan tambahan kriteria ini, ia dapat menyakinkan rakyat bahawa pengisytiharaan ini adalah telus dan bukan pertunjukkan politik semata-matanya. Ini selanjutnya akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan dan memastikan negara kita dapat dibebaskan dari cengkaman rasuah. Dengan kata-kata itu, saya menyokong sepenuhnya Usul Pengisytiharaan Harta ini.

Terima kasih.