Keputusan S&P Global Ratings tunjuk kenaikan hutang langsung tidak jejas penarafan kredit kerajaan

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia

Penarafan Kredit Kerajaan Malaysia Yang Diiktiraf Semula Pada Taraf Sama Menunjukkan Bahawa Kenaikan Hutang Langsung Kerajaan Tidak Menjejaskan Penarafan Kredit Kerajaan, Terutama Sekali Apabila Jumlah Keseluruhan Hutang Dan Liabiliti Kerajaan Telah Dikurangkan

Kementerian Kewangan menyambut baik keputusan S&P Global Ratings (Standard and Poor’s) pada 3 Julai 2019 untuk mengiktiraf semula penarafan kredit Kerajaan Malaysia pada taraf A- dengan jangkaan stabil. Pengekalan penarafan ini menunjukkan keyakinan syarikat penarafan kredit antarabangsa tersebut terhadap unjuran pertumbuhan Malaysia yang pesat, profil institusi negara yang baik, asas ekonomi yang kukuh, serta pengurusan hutang dan liabiliti kerajaan yang rapi. Penarafan semula ini juga menunjukkan bahawa kenaikan hutang langsung kerajaan tidak menjejaskan penarafan kredit Kerajaan, terutama sekali apabila jumlah keseluruhan hutang dan liabiliti Kerajaan telah dikurangkan.

Pertumbuhan ekonomi yang pesat

Antara faktor utama pengekalan penarafan kredit Kerajaan pada A- adalah prospek ekonomi Malaysia yang sihat. Bank Dunia telah mengunjurkan ekonomi Malaysia untuk tumbuh setinggi 4.6% pada tahun ini. Kadar inflasi yang rendah dan stabil pada 0.2% untuk bulan Mac, April dan Mei telah menggalakkan pertumbuhan perbelanjaan penggunaan swasta. Tambahan lagi, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memotong Kadar Dasar Semalaman atau Overnight Policy Rate (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00% telah mengurangkan kos pinjaman bagi pengguna. Kesannya dapat dilihat, antara lain, daripada bilangan kenderaan yang dijual untuk tempoh Januari-Mei 2019 telah meningkatkan sebanyak 13% tahun-ke-tahun berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pada masa yang sama, lencongan perdagangan yang berpunca daripada perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat telah membolehkan pertumbuhan eksport Malaysia sekali lagi mengatasi unjuran pasaran. Bagi bulan Mei 2019, eksport negara telah naik 2.5% kepada RM84.1 bilion daripada RM82.1 bilion setahun lalu. Peningkatan 2.5% ini mengatasi konsensus pasaran serendah 2.2% seperti yang dikumpulkan oleh Bloomberg (Jadual 1).

Jadual 1: Pertumbuhan eksport Malaysia berbanding konsensus pasaran seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg

Pertumbuhan eksport yang berterusan ini telah meningkatkan lebihan dagangan negara untuk 5 bulan pertama tahun 2019 sebanyak 4.3% kepada RM56.8 bilion daripada RM54.5 bilion setahun lalu. Pelaburan langsung asing atau foreign direct investment (FDI) yang diluluskan bagi suku pertama tahun 2019 telah meningkat 73.4% kepada RM29.3 bilion berbanding RM16.9 bilion setahun lalu. Pertumbuhan suku pertama ini dipacu oleh kenaikan FDI yang diluluskan dalam sektor pembuatan sebanyak 127% kepada RM20.2 bilion berbanding RM8.9 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pengurusan hutang secara rapi

Pihak S&P mengiktiraf usaha Kerajaan untuk mengukuhkan semula keadaan kewangannya melalui pengurusan kewangan yang rapi, termasuklah dalam menguruskan hutang dan liabiliti Kerajaan secara keseluruhan. Walaupun nisbah hutang langsung Kerajaan berbanding keluaran dalam negeri kasar (KDNK) telah meningkat kepada 51.2% pada tahun 2018 daripada 50.1% pada tahun 2017, hutang langsung hanyalah sebahagian daripada keseluruhan hutang dan liabiliti Kerajaan. Selain daripada hutang langsung, hutang dan liabiliti Kerajaan mengambil kira komitmen jaminan kerajaan dan pajakan kewangan serta liabiliti lain seperti hutang 1MDB yang perlu dibiayai secara langsung oleh Kerajaan sekarang.

Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, Kerajaan telah berjaya mengurangkan keseluruhan hutang dan liabilitinya berbanding KDNK sebanyak 3.9 mata peratusan daripada 79.3% berbanding KDNK pada tahun 2017 kepada 75.4% pada tahun 2018 (Jadual 2).

Jadual 2: Hutang dan liabiliti Kerajaan berbanding KDNK

Kementerian Kewangan yakin akan kemampuan Kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 3.7% berbanding KDNK pada tahun 2018 kepada 3.4% untuk tahun ini.Pembaharuan institusi yang berterusanJawatankuasa Pengurusan Hutang yang baru ditubuhkan akan membantu mengawal hutang dan liabiliti Kerajaan secara keseluruhan, sambil memastikan pengurusan hutang dan liabiliti Kerajaan sentiasa mematuhi amalan antarabangsa yang terbaik. Selain itu, pentadbiran pimpinan Pakatan Harapan juga telah melakukan langkah- langkah besar dalam memerangi korupsi, yang merupakan sebuah pembaharuan institusi yang dilihat sebagai kredit positif.

Pada 1 Julai 2019, Parlimen telah meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, senator dan keluarga terdekat mereka mengisytiharkan aset masing-masing pada atau sebelum 1 Oktober 2019. Kestabilan ekonomi serta kekukuhan institusi kewangan negara merupakan antara pemacu utama dalam pembangunan Malaysia dan dalam pengekalan penarafan kredit Kerajaan yang tinggi pada A- atau A3. Langkah-langkah memperhebatkan pertumbuhan ekonomi serta pembaharuan institusi akan mengembalikan kepercayaan awam kepada Kerajaan serta memperbaiki lagi keadaan perniagaan dalam negara, sambil meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan peluang pekerjaan yang lebih baik, serta pertumbuhan pendapatan isi rumah yang lebih rancak.

Sayangi Malaysiaku!

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

7 Julai 2019