MP Kasthuri sumbang RM10,000 bantu pusat hemodialisis

Sebanyak RM10,000 disumbangkan oleh Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani kepada Pertubuhan Hemodialysis Seberang Perai Selatan (SPS) bagi meringankan beban kos operasi pusat berkenaan yang telah beroperasi selama 21 tahun.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sempena lawatan beliau ke pusat hemodialisis berkenaan dekat Simpang Ampat di sini 6 Julai lalu.

Wan Azizah dalam ucapan ringkasnya menyeru pengendali pusat hemodialisis milik swasta supaya mematuhi peraturan ditetapkan termasuk mempunyai seorang pakar nefrologi bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku ketika menjalankan rawatan.

“Dulunya memang tidak memerlukan seorang pakar tetapi kita dapati ada insiden pusat dialisis tidak mematuhi peraturan menyebabkan berlaku sedikit kekurangan dari segi perkhidmatan.

“Oleh itu, kita terpaksa mengetatkan peraturan-peraturan untuk menubuhkan pusat dialisis,” katanya.

Sementara itu, pengasas pertubuhan itu, Goh Kheng Hua berkata penubuhan pusat hemodialisis berkenaan adalah untuk membantu pesakit miskin yang tidak berkemampuan bagi mendapatkan rawatan.

“Kami amat memerlukan peruntukan untuk perbelanjaan operasi yang menelan kos kira-kira RM35,000 sebulan termasuk subsidi untuk pakar nefrologi,” ujarnya sambil memberitahu bahawa pusat berkenaan kini mempunyai 46 pesakit berdaftar yang sedang menerima rawatan.

Berita penuh pada Buletin Mutiara: