Pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan permohonan Kebenaran Merancang Tetuan Lone Pine Residence Sdn. Bhd di atas lot 4658 bagi cadangan pembinaan wellness suites dengan ketinggian 5 tingkat. Dalam permohonan kemajuan ini, pihak pemaju juga telah disyaratkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membina Taman Awam (Seaside Pocket Park) sebagai rekreasi awam di atas tanah kerajaan bersebelahan lot 4658.
Pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang merancang untuk menjadikan kawasan hijau di Tanjong Bungah ini sebagai taman awam yang akan memanfaatkan bukan sahaja penduduk setempat tetapi pelancong yang datang ke kawasan sekitar Tanjong Bungah. Taman awam ini dijangka akan menjadi pusat rekreasi untuk riadah keluarga dan suatu keperluan masa panjang dalam jangkaan terhadap Malaysia ke arah negara menua (aging society).
Pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga mensyaratkan kepada pihak Lone Pine Residence Sdn. Bhd untuk membina taman awam terlebih dahulu. Permohonan untuk pembinaan taman awam (petak A) ini telah diluluskan pada 5 Disember 2024 dan permohonan permit pencabutan, pemindahan dan pengangkutan bahan batuan di atas tapak taman awam ini telah diluluskan pada 7 Mei 2025. Oleh itu, pihak pemaju sedang dalam usaha untuk memulakan kerja-kerja di tapak.
Cadangan taman awam yang bakal dibina ini akan merangkumi pembinaan trek joging, taman permainan kanak-kanak, ruang istirahat, fasiliti senaman, persiaran tepi laut (promenade) dan kawasan ini akan diliputi dengan pokok serta tumbuhan hijau. Taman awam ini akan diselenggara oleh pihak pemaju. Ini merupakan manfaat baik yang boleh dirasai oleh semua masyarakat.
Pejabat ini sekali lagi ingin menegaskan bahawa tohmahan dan spekulasi yang kawasan hijau dan ruang pantai di tapak tersebut akan dimusnahkan oleh pembangunan mewah adalah suatu fitnah jahat dan tidak benar.
Tegas sekali lagi, bahawa kerja tanah yang sedang mula di tapak adalah untuk pembinaan taman awam (seaside pocket park) iaitu suatu kemudahan yang boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat khususnya penduduk di situ.