Kenyataan media Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam 

30 NOVEMBER 2017 | PARLIMEN, KUALA LUMPUR

UMNO memberikan talian hayat kepada Utusan yang sedang sakit tenat bukti amalan 3K, Korupsi, Kronisme dan Kleptokrasi

Pada 23 November 2017, saya telah menanyakan soalan di Parlimen tentang pemberian tablet bantuan mengajar kepada 430,000 orang guru yang telah dijanjikan oleh Perdana Menteri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2017 tahun lepas.

Projek ini dijangka akan menelan belanja sebanyak RM340 juta.

Walau bagaimanapun, jawapan yang diberi oleh Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan amat mengejutkan.

Beliau berkata bahawa, setakat ini, sebanyak 182,712 tablet telah diagihkan dengan perbelanjaan sebanyak RM152 juta. Yang paling mengejutkan ialah, Timbalan Menteri Pendidikan telah mendedahkan bahawa syarikat pembekal bagi tablet bantuan mengajar tersebut ialah Utusan Melayu (Malaysia) Sdn. Bhd.

Bagaimana sebuah syarikat surat khabar yang mengalami kerugian tiap-tiap tahun boleh diberi kontrak RM340 juta membekalkan komputer tablet?

Daripada tahun 2013 sehingga ke suku ke-2 tahun 2017, Utusan telah kerugian hampir RM220 juta.

Pada tahun 2016, bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan, Zainuddin Maidin telah menggelar Utusan sebagai sebuah syarikat yang sedang “sakit” kerana kelewatan membayar gaji kepada pekerja.

Mengikut laporan Biro Audit Pengedaran pada Mei 2017, pengedaran Utusan Malaysia telah merosot sebanyak 14% ataupun lebih 20,000 naskah manakala Mingguan Malaysia merosot sebanyak 10% ataupun lebih 30,000 naskah.

Justeru, Utusan Malaysia yang merupakan alat propaganda UMNO kini sebenarnya sedang sakit tenat.

Oleh itu, pelantikan syarikat Utusan sebagai kontraktor bagi projek tablet bernilai RM340 juta ini boleh dikatakan sebagai satu talian hayat yang dihulur oleh kerajaan pusat kepada Utusan.

Soalan saya ialah, bagaimana sebuah syarikat surat khabar yang telah mengalami kerugian hampir RM220 juta boleh dilantik menjadi pembekal komputer tablet bagi projek bernilai RM340 juta? Tambahan pula projek ini diberikan tanpa tender terbuka.

Ini membuktikan bahawa sehingga kini menjelang PRU ke-14, UMNO-BN tidak pernah dan tidak berhasrat untuk berubah. Pentadbiran UMNO-BN tetap berpaksikan 3K iaitu, Korupsi, Kronisme, Kleptokrasi.

Steven Sim Chee Keong

Ahli Parlimen Bukit Mertajam