Kenyataan Sidang Akhbar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada 12.2.2018

Tidak Ada Gunanya Membantah Berita Palsu Atau Tuduhan Palsu Baru Oleh Pemimpin BN, Seperti Wee Ka Siong Mengenai 3 Projek Lebuhraya Dan Terowong Dasar Laut, Apabila Wee Sendiri Enggan Tampil Dan Mengakui 10 Pembohongan Beliau Terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang Sebelum Ini, Sebaliknya Berterusan Untuk Mensabotaj Projek BerKepentingan Awam Bagi Mengurangkan Kesesakan Lalulintas.

Tidak ada gunanya membantah berita palsu atau tuduhan palsu baru oleh pemimpin BN seperti Wee Ka Siong mengenai 3 Projek Lebuhraya dan Terowong Dasar Laut apabila Wee sendiri enggan tampil dan mengakui 10 pembohongan beliau terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini, sebaliknya berterusan untuk mensabotaj projek berkepentingan awam bagi mengurangkan kesesakan lalulintas.

Bolehkah pemimpin BN dan Wee membuktikan tuduhan dan pembohongan mereka mengenai:

1. Berlaku korupsi dan rasuah yang melibatkan bayaran jutaan ringgit kepada pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri;

2. Tiada sabotaj terhadap projek ini oleh pemimpin BN atau Wee, serta tidak ada salah guna kuasa oleh Liow Tiong Lai yang “menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan ganjaran politik” dalam usaha memperolehi maklumat daripada China Railway Construction Corporation Ltd (CRCC);

3. Saya mengatakan bahawa CRCC adalah pemegang saham Zenith Consortium;

4. Tidak mempedulikan apa yang saya telah katakan, iaitu CRCC adalah kontraktor utama, dan sebaliknya membuat tuduhan tentang penglibatan sebuah syarikat fesyen dalam pembinaan 3 projek lebuhraya dan terowong dasar laut tersebut;

5. Menuduh pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri berperanan dalam menganugerahkan kontrak kepada Zenith sedangkan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mengetuai Lembaga Tender Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dan ia dianggotai para pegawai kanan Kerajaan Negeri. Juga para pemimpin BN enggan menjawab apabila ditanya tentang mengapa tiada siasatan oleh SPRM terhadap projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang dianugerahkan tanpa tender terbuka;

6. Cuba mengheret Setiausaha Kerajaan Negeri ke dalam kancah politik dengan membuat tuduhan bahawa modal berbayar Zenith, apabila mereka dianugerahkan projek melalui tender terbuka, tidak memenuhi syarat minimum RM381 juta;

7. Perjanjian tidak disetem, khususnya surat pengesahan komitmen oleh kontraktor utama;

8. Surat komitmen tambahan oleh kontraktor utama untuk memastikan projek siap adalah tidak sah kerana ia hanyalah lampiran kepada perjanjian utama;

9. Membuat dakwaan bahawa CRCC adalah satu-satunya syarikat perunding; dan

10. Membuat dakwaan bahawa pembayaran telah dibuat kepada kontraktor untuk terowong dasar laut.

Kerajaan Negeri telah mengambil sikap terbuka dan telus dalam menjawab persoalan-persoalan awam di media BN berhubung 3 projek lebuhraya dan terowong dasar laut tersebut. Tidak seperti sikap membisu Kerajaan BN berhubung skandal 1MDB atau projek ECRL. Wee telah bermain kotor. Wee menyalahgunakan berita dan media TV yang dikuasai BN apabila beliau enggan mengakui kesemua 10 pembohongan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Saya tidak akan melayan lagi siri permainan kotor Wee yang sentiasa melompat dari satu pembohongan kepada satu fitnah yang lain untuk menutup penipuannya yang asal.

Saya terkejut bagaimana Wee boleh mendapat maklumat daripada kontraktor utama projek ini, iaitu CRCC, di mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang sendiri pun tidak sedar tentang kewujudan maklumat tersebut. Malah Wee turut mengakui beliau mempunyai maklumat tentang berapa banyak atau sedikitnya CRCC dibayar oleh Zenith, sekaligus menimbulkan persoalan berhubung sumber maklumat yang diperolehinya. Sekali lagi, para pemimpin MCA seperti Wee dan Liow berlagak seolah-olah mereka adalah jurucakap China Railway Construction Corporation Ltd, dan melupakan tanggungjawab mereka sebagai Menteri untuk rakyat Malaysia. Ini mengukuhkan dua asas bantahan pihak saya.

Pertama, di mana wujudnya rasuah yang melibatkan jutaan ringgit yang didakwa dibayar kepada pemimpin-pemimpin politik Kerajaan Negeri, apabila para pemimpin MCA kini berbalah tentang hal-hal kecil seperti sama ada CRCC adalah kontraktor atau hanya pemegang saham projek ini, atau berapa banyak atau sedikit CRCC telah dibayar oleh Zenith. Ini paling sesuai dijawab oleh Zenith. Bolehkah Wee membuktikan tuduhan rasuah tersebut atau menjelaskan apa yang sedang disiasat oleh SPRM sedangkan projek ini telah pun dianugerahkan melalui tender terbuka?

Kedua, mengesahkan kecurigaan bahawa Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai telah menyalahgunakan kuasanya untuk memberi tekanan kepada CRCC bagi mendedahkan maklumat, walaupun Liow bukan pihak yang ada kena-mengena dengan kontrak yang melibatkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Zenith Consortium dan CRCC. Liow tidak ada hak untuk bercakap dengan CRCC tetapi nampaknya CRCC boleh mewujudkan hubungan dengan pemimpin politik MCA, tetapi bukan dengan Kerajaan Negeri.

Situasi dengan CRCC ini hampir sama dengan pimpinan utama Zenith Consortium, khususnya mereka yang telah ditahan oleh SPRM. Zenith tidak berkomunikasi secara umum seperti sebelum ini. Tentulah mereka yang terlibat dalam pembinaan lebuhraya dan terowong dasar laut tersebut tidak menyangka bahawa penglibatan mereka tersebut telah menyebabkan mereka ditahan dalam lokap. Jelas Zenith mengalami tekanan apabila ditahan oleh SPRM.

Sekiranya CRCC menarik diri daripada projek ini sebagai kontraktor utama, maka kita tahu siapa yang melakukan sabotaj ini. Sekali lagi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai pilihan untuk membawa atau tidak kes tersebut ke mahkamah sekiranya terdapat sebarang pencanggahan dalam surat perjanjian yang ditandatangani dan bagi memastikan kontraktor tersebut memenuhi sepenuhnya syarat perjanjian utama tersebut. Apa yang rakyat Pulau Pinang akan perolehi daripada sabotaj yang dilakukan oleh MCA dan BN yang akan hanya memburukkan kesesakan lalulintas? BN telah gagal mengemukakan penyelesaian ketika mereka memegang kuasa dahulu dan kini mereka cuba menghancurkan satu usaha murni Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

LIM GUAN ENG