BUTTERWORTH – Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri jika hendak dibandingkan dengan Jalan-jalan Persekutuan sememangnya ketara lebih baik, namun Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang bersedia menerima cabaran untuk memperbaikinya.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika diajukan soalan oleh pemberita berhubung cakap-cakap pemimpin pembangkang Pulau Pinang mengenai Jalan-jalan Negeri pun ada banyak yang berlubang seperti Jalan-jalan Persekutuan.

Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri bukan sahaja bersedia memperbaiki jalan-jalan di bawah kawalannya, malah ia akan dilakukan secepat mungkin.

“Saya difahamkan, kebanyakan daripada jalan-jalan ini berlubang disebabkan kerja-kerja yang dilakukan oleh syarikat-syarikat utiliti.

“Apabila mereka memasang paip-paip dan sebagainya, mereka terpaksa menampal semula jalan-jalan tersebut…itu sebablah kualiti kerja tampal balik yang dilakukan tidak berapa baik.

“Dan perkara ini, kita (Kerajaan Negeri) hanya sedar selepas menerima aduan orang ramai, ia bukannya berlubang dengan sendirinya” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan selepas Majlis Penyerahan Cek kepada Chee Wee Khor Uplifting Society di sini tadi.

Dalam pada itu, Guan Eng turut berharap Kerajaan Persekutuan dapat melakukan perkara sama, dan tidak bersikap ‘sepi’ walaupun aduan telah dibuat.

“Tak apa, kita sedia terima cabaran dan perbaikinya…tapi diharap Kerajaan Persekutuan boleh juga sama-sama memperbaikinya, bukan bersikap seperti sekarang… kita buat aduan tapi dia (Kerajaan Persekutuan) tetap tidak buat.

“Contoh paling ketara adalah Jalan Air Itam iaitu dari Komtar ke Sekolah Tinggi Chung Ling yang begitu ketara elok, tapi selepas sekolah tersebut jalan teruk.

“Inilah perbezaan di antara Jalan-jalan Negeri dan Jalan-jalan Persekutuan. (Bagaimanapun), kita alu-alukan mana-mana aduan termasuk daripada parti pembangkang untuk membuat maklum balas jika ada Jalan-jalan Negeri yang rosak supaya kita boleh cepat mengambil tindakan,” ujarnya.

Tambah Guan Eng, laluan satu lorong Jambatan Pulau Pinang yang ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan jalan di Solok Relau 1 (berhadapan Kompleks Sukan MBPP) ekoran kerja-kerja yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Pembentungan bukanlah di bawah kawalan Kerajaan Negeri.

Sementara itu, pada sidang media sama, Guan Eng turut menyatakan kekesalannya berhubung kenyataan dikeluarkan Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang bahawa perkhidmatan feri kini telah pun berubah dan baik.

“Saya pun tak tau macam mana berubah… perkhidmatan masih teruk juga kerana setiap kali turun ke Butterworth, saya terima aduan.

“Kita lihat perkhidmatan teruk, tapi (Datuk) Tan Teik Cheng (Pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang merangkap Pengerusi MCA Negeri) cakap ia baik. Biarlah rakyat yang melihat sendiri dan menilainya,” tegas beliau.

Pautan video: https://youtu.be/FWAEdtM_DNk