Hari ini kami hadir ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya untuk menyerahkan satu memorandum berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Di dalam memorandum tersebut, kami menggesa pihak SPRM untuk melakukan siasatan baru terhadap 1MDB berdasarkan dokumen rasmi mahkamah dalam saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang terkini. Seperti umum sedia maklum, DOJ menyaman beberapa individu untuk menyita harta yang didakwa diperolehi dengan wang yang diseleweng dari 1MDB. DOJ menyatakan bahawa ini adalah antara kes kleptokrasi terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat, yang turut melibatkan pelbagai dakwaan rasuah, salahguna kuasa dan pecah amanah oleh pihak pengurusan dan pentadbiran Dato’ Sri Najib Razak.

Oleh itu, agak ganjil apabila suatu jenayah yang cukup besar didakwa boleh berlaku di negara asing tetapi tiada sebarang dakwaan di mahkamah negara kita sendiri.

Bersama memorandum itu kami lampirkan dokumen kes saman DOJ. Dokumen rasmi tersebut mendakwa sejumlah US$4.5 bilion telah diseleweng dari 1MDB melalui pengubahan wang haram yang mengguna institusi kewangan dan bank antarabangsa.

Antaranya, sejumlah US$732.3 juta (RM3.1 bilion) yang didakwa telah disalurkan ke dalam satu akaun AmBank dimiliki oleh “Malaysian Official 1” (MO1) di antara Februari 2011 ke Jun 2014. “MO1” merujuk kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato’ Sri Najib Razak.

Aliran tunai yang dikemukakan di atas jelas menunjukkan bahawa wang yang diterima oleh Dato’ Seri Najib Razak adalah berpunca daripada 1MDB, dan bukannya daripada mana-mana pihak penderma Arab, seperti kenyataan sebelum ini.

Tambahan lagi, DOJ juga melaporkan secara terperinci bagaimana Dato’ Sri Najib Razak telah membuat pemindahan wang sebanyak US$620 juta kepada syarikat Tanore Finance Corporation di Falcon Bank, Singapura pada 26 Ogos 2013.  Dua minggu kemudian, pada 10 September 2013, US$27.3 juta daripada wang yang dipindah oleh Dato’ Sri Najib Razak didakwa telah diguna Jho Low untuk membeli rantai dan cincin berlian merah jambu 22-karat untuk Datin Seri Rosmah Mansor.

Perkara di atas tidak termasuk lagi beratus-ratus juta ringgit wang 1MDB yang telah diselewengkan melalui syarikat-syarikat pengantara kepada Riza Aziz, anak Datin Seri Rosmah Mansor, untuk menerbit filem di Amerika Syarikat, dan membeli banglo dan kondominium di pelbagai negara di seluruh dunia.

Oleh itu, kami menggesa agar Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat semula kes penyelewengan yang jelas berlaku di 1MDB yang telah merosakkan nama baik Malaysia di mata dunia.

SPRM mempunyai peranan yang teramat penting dalam memulihkan maruah rakyat Malaysia agar sesiapa sahaja yang terlibat dalam aktiviti rasuah, pecah amanah dan salahguna kuasa akan dihadapkan ke mahkamah juga akhirnya.

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Pakatan Harapan
Presiden KEADILAN

YB Lim Kit Siang
Ketua Parlimen DAP

YBhg Datuk Abdul Rashid Asari
Naib Presiden PPBM

YBhg Ust Hasanuddin Mohd Yunus
Naib Presiden AMANAH

YB Ignatius Dorell Leiking
Timbalan Presiden WARISAN

8 Ogos 2017