Perutusan Oleh Setiausaha Agung DAP Merangkap Ahli Parlimen Bagan Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-60 Malaysia, Di Kuala Lumpur, Pada 30 Ogos 2017

Rakyat Malaysia sepatutnya bukan sahaja perlu menjadi ‘Pengubah-kehidupan’ atau ‘Lifechangers’Politik dan ‘Pengubah-permainan’ atau ‘Gamechangers’ Ekonomi Dalam Mendapatkan Semula Janji Kemerdekaan Kita Sebagai Satu Negara Dengan Hati Yang Saling Menyayangi Antara Satu Sama Lain, Menghargai Prinsip dan Menegakkan Hak Asasi Kita Dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada kita menyambut Hari Kemerdekaan Ke-60, di samping memperingati perjuangan memperolehi kemenangan ke atas penjajah British, perjuangan yang lebih penting diteruskan untuk menubuhkan, iaitu sebagaimana kata-kata Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman, “sebuah negara yang diinspirasikan oleh ideologi keadilan dan kebebasan.”

Oleh itu, kita mengharapkan dalam 60 tahun akan datang lagi, rakyat Malaysia sepatutnya bukan sahaja perlu menjadi ‘lifechangers’ politik dan ‘gamechangers’ ekonomi dalam mendapatkan semula janji Kemerdekaan kita sebagai satu negara dengan hati yang saling menyayangi antara satu sama lain, menghargai prinsip dan menegakkan hak asasi kita dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perjuangan politik kita masih terbahagi di antara bangsa dan agama. Rakyat Malaysia yang terpisah oleh faktor geografi atau demografi, sama ada tua atau muda, lelaki atau wanita, sepatutnya mempertimbangkan apa yang mereka hajatkan bagi negara kita pada hari ini. Rakyat Malaysia sepatutnya sedar walaupun negara telah mengharungi banyak kesusahan dan rintangan, kita mampu memperkuasakan setiap individu.

Itu adalah hak mereka, dan itu adalah tanggungjawab mereka. Apa-apa pun, kuasa poltik terletak pada Rakyat. Kita perlu mendapatkan semula janji Kemerdekaan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan – hak untuk menikmati demokrasi, kebebasan, keadilan, peruntukan undang-undang, hak untuk hidup dengan penuh bermaruah dan mewah.

Sebuah Kerajaan seharusnya bersifat people-centric, berfokus kepada memperkasakan, memperkuasakan dan memperkayakan rakyat. Kita akan memperkasakan rakyat dengan kemahiran yang mencukupi dan pengetahuan yang diperlukan. Kita akan memperkuasakan rakyat kita dengan hak, peluang dan kebebasan. Kita akan memperkayakan kehidupan rakyat dengan pembangunan sama rata untuk semua.

Kita tidak mahu Malaysia dikenali di dunia sebagai kleptokrasi. Kita juga tidak mahu Malaysia yang autokratik atau sebagai sebuah negara yang tidak mampu memenuhi kemampuan atau potensinya sendiri. Justeru, marilah kita mendapatkan semula janji untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dikenali seluruh pelusuk dunia sebagai sebuah negara dengan satu hati.

Satu hati manusia untuk menilai kebenaran daripada kesalahan, tidak menilai berpaksikan wang dan rasuah; satu hati untuk prinsip-prinsip asas daripada kepentingan pimpinan politik yang enggan untuk berkongsi kuasa; satu hati untuk kerja keras daripada kroni-kroni yang mempunyai hubungan untuk memperkayakan sesama mereka; satu hati untuk kecemerlangan daripada kebiasaan; satu hati yang meraikan kepelbagaian daripada ekstremisme; satu hati yang menghargai institusi yang melindungi hak asasi kemanusiaan dan tidak membenarkan diktator-diktator mempunyai hak untuk menyalahgunakan kuasa; satu hati yang menyatukan kita semua melalui kasih sayang untuk sesama kita dan negara.

Biarkan Malaysia menyambut ulang tahun ke-60 sebagai sebuah negara dengan beraninya untuk mengubah diri kita kepada sebuah negara dengan satu hati, yang mana menyayangi anak-anak tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.

 

 

 LIM GUAN ENG