Peningkatan Ketara Nilai Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang diluluskan selepas Pilihanraya Umum yang ke-14 sebanyak 379% Membuktikan Keyakinan Pelabur Asing Ke Atas Malaysia Terus Bertambah

1. Angka rasmi daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia atau Malaysian Investment Development Authority (MIDA) menunjukkan bahawa nilai pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan bagi sektor pembuatan telah meningkat sebanyak RM35 bilion atau 250% kepada RM49 bilion untuk sembilan bulan pertama pada tahun 2018, berbanding hanya RM14 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

2. FDI yang diluluskan ini adalah pelaburan oleh pelbagai syarikat antarabangsa merentas pelbagai industri pembuatan. FDI daripada negara China merangkumi 32% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, dan ini disusuli oleh FDI daripada Indonesia dan Belanda di mana masing-masing merangkumi 18.4% dan 17.0% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan. Sebanyak 6.4% FDI yang diluluskan berasal daripada Amerika Syarikat, Korea Selatan (5.0%), Jepun (4.3%) dan Singapura (2.5%) juga bagi tempoh Januari hingga September 2018.

3. Bagi bulan Mei hingga September 2018, jumlah FDI yang diluluskan dalam sektor pembuatan telah meningkat kepada RM35 bilion berbanding RM7.3 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun lepas. Peningkatan signifikan ini membuktikan bahawa keyakinan yang tinggi di kalangan pelabur asing ke atas negara Malaysia, khususnya dengan peningkatan sebanyak RM27.7 bilion atau 379% dalam jumlah FDI pembuatan yang diluluskan, selepas peralihan kuasa berlaku secara aman pada 9 Mei 2018.

4. Jumlah ini tidak mengambil kira beberapa kelulusan baru FDI dalam sektor pembuatan, seperti pelaburan RM1.5 bilion yang dibuat bagi jangka masa lima tahun akan datang oleh syarikat Micron, yang tersenarai dalam bursa saham NASDAQ di Amerika Syarikat, untuk membina sebuah Pusat Pemasangan dan Pengujian Solid-State Drive (SSD) di Pulau Pinang.

5. Angka yang disebut oleh mantan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak merujuk kepada nilai pengaliran masuk sebenar FDI yang direalisasikan, yang direkodkan dalam dokumen Imbangan Pembayaran terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia. Nilai tersebut adalah satu penunjuk susulan dan ini bermakna angkanya yang rendah dan semakin menurun mencerminkan kesan usaha yang dilakukan oleh pentadbiran yang terdahulu sebelum peralihan kuasa berlaku.

6. Ini perlu dibandingkan dengan angka RM49 bilion yang dikeluarkan oleh MIDA yang merupakan satu penunjuk pelopor bagi potensi pelaburan untuk sektor pembuatan. Pelaburan FDI RM49 bilion yang diluluskan akan diambil kira pada masa hadapan dalam angka FDI yang terdapat dalam dokumen Imbangan Pembayaran apabila pelaburan tersebut direalisasikan.

7. Di samping itu, jumlah penuh FDI pembuatan yang diluluskan akan direalisasikan secara progresif dari masa ke masa dan bukan secara sekaligus. FDI yang direalisasikan akan mengikut jadual pembinaan kemudahan pembuatan seperti kilang-kilang yang boleh mengambil masa sehingga 2 tahun. Pihak Kerajaan sedang memastikan FDI pembuatan yang diluluskan akan direalisasikan secepat mungkin bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

8. Peningkatan FDI yang diluluskan secara signifikan adalah petunjuk bahawa pertumbuhan ekonomi di masa hadapan adalah menggalakkan. Kerajaan akan terus menarik FDI yang berkualiti untuk mewujudkan peluang kerjaya berkemahiran dan bergaji tinggi untuk rakyat serta peluang perniagaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (SMEs) sebagai sebahagian daripada program pembangunan vendor. Pada masa yang sama, Kerajaan akan bekerjasama dengan syarikat yang sedia ada bagi memastikan pelaburan yang diluluskan dapat dijalankan dan dilaksanakan dengan baik.

(Untuk pengetahuan umum, FDI pembuatan yang diluluskan yang dirujuk di sini tidak termasuk FDI bagi sektor perkhidmatan, manakala angka FDI yang disebut dalam Belanjawan 2019 merangkumi FDI yang diluluskan bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan.)

 

Sayangi Malaysiaku!

 

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
3 Disember 2018

By | 2018-12-04T14:11:51+00:00 December 3rd, 2018|Media Statements|Comments Off on Peningkatan Ketara Nilai Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang diluluskan selepas Pilihanraya Umum yang ke-14 sebanyak 379% Membuktikan Keyakinan Pelabur Asing Ke Atas Malaysia Terus Bertambah

About the Author: