Segala Pengisytiharan Harta:
Pengisytiharan Harta ADUN 2018

Pengisytiharan Harta Ahli Parlimen 2018

Pengisytiharan Harta EXCO 2018

Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengumumkan pengisytiharan harta secara terbuka  oleh semua ahli EXCO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Kerajaan) bagi tempoh berakhir 31 Januari 2018. Kali ini, dua orang Ahli Parlimen Pakatan Harapan dari Pulau Pinang juga telah mengisytiharkan harta mereka (lihat lampiran). Pulau Pinang adalah negeri pertama di Malaysia yang berbuat demikian. Transparency International juga memuji Pulau Pinang kerana sistem tender terbuka yang diamalkan.

 

Pengisytiharan harta secara terbuka pada kali ini merupakan kali ketiga ianya dilaksanakan. Pengisytiharan pertama telah dilaksanakan pada tahun 2011, melibatkan semua ahli EXCO Kerajaan Negeri. Manakala pada tahun 2013, Kerajaan Negeri telah memutuskan agar Ahli Dewan Undangan Negeri juga turut serta dalam pengisytiharan harta dan semua maklumat ini telahpun dimuatnaik di dalam portal rasmi Kerajaan Negeri untuk pengetahuan umum.

 

Sebagai makluman, firma juruaudit bebas yang bertauliah, Grant Thornton, telah dilantik oleh Kerajaan Negeri untuk menjalankan pengauditan pengisytiharan harta tersebut. Pihak juruaudit mendapati semua maklumat dan dokumen yang dikemukakan adalah teratur.

 

Langkah pengisytiharan harta adalah sebahagian daripada 10 langkah integriti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sejak 2008 seperti berikut:

i.     Amalan Pentadbiran yang berlandaskan Prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus);

ii.    Menginstitusikan pengisytiharan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri, EXCO dan ADUN;

iii.    Melaksanakan tender terbuka secara kompetitif;

iv.    Tidak membenarkan ahli keluarga untuk melibatkan diri dalam kontrak Kerajaan Negeri;

v.    Melarang ADUN dan ahli pentadbiran daripada diluluskan permohonan tanah Kerajaan Negeri;

vi.   Melindungi pemberi maklumat atau peniup wisel yang tulen;

vii.   Mengambil tindakan ke atas pemimpin yang hidup mewah melebihi pendapatan rasminya;

viii.  Telus dalam sumbangan politik;

ix.   Tidak menerima ‘donation’ peribadi; dan

x.    Mengambil tindakan ke atas pegawai yang melanggari kesemua di atas.

 

Kerajaan Negeri sekali lagi telah menunaikan janjinya di mana pengisytiharan harta oleh ahli EXCO dan ADUN akan diumumkan secara terbuka dan ini membuktikan bahawa pentadbirannya adalah bersih berasaskan CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan.

 

Sebagai makluman, maklumat pengisytiharan harta boleh dicapai dalam portal Kerajaan Negeri www.penang.gov.my di bawah tajuk “Topik Popular”.

 

 

LIM GUAN ENG