Saudara Kerk Kim Hock dilahirkan di Melaka pada 29 Julai 1956 dan mempunyai seramai 10 orang adik-beradik.

Kerk telah menamatkan persekolahan peringkat menengah di Melaka sebelum menyambung pengajian sehingga bergelar graduan jurusan Kejuruteraan Mekanikal Universiti Monash, Australia.

Beliau yang menyandang jawatan Pengerusi Monash University Malaysian Students Union berkenalan dengan saudara Lim Guan Eng pada ketika itu.

Selepas menamatkan pengajian, Kerk kembali ke tanahair pada tahun 1982. Beliau merupakan penyelia bahagian mekanikal Lembaga Pelabuhan Klang dan bekerja di syarikat kereta di Batu Caves, setahun kemudian.

Atas jemputan saudara Lim Kit Siang, Kerk menyertai DAP pada bulan Januari 1986 dan menjadi setiausaha politik Kit Siang pada bulan Mei tahun yang sama.

Kerk yang berusia 30 tahun memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Daun pada tahun 1986. Pada Oktober 1987, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad selaku perdana menteri pada ketika itu melancarkan Operasi Lalang menerusi penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Kerk merupakan salah seorang antara 16 pemimpin DAP yang ditahan pada waktu itu. Beliau dibebaskan selepas 60 hari ditahan manakala pemimpin parti lain dihantar ke pusat tahanan Kamunting.

Selepas dibebaskan, Kerk melancarkan kempen solidariti demi semua pemimpin yang ditahan di bawah Operasi Lalang. Beliau juga antara individu yang menghantar keluarga Kit Siang berulang-alik ke pusat tahanan Kamunting pada masa itu.

Kerk, kemudiannya, berjaya terpilih sebagai Ahli Parlimen Pasir Pinji pada tahun 1990 dengan keputusan cemerlang.

Bagaimanapun, beliau terkandas dalam pilihan raya umum (PRU) tahun 1995. Selepas kekalahan tersebut, beliau terus menumpukan perhatian dalam hal-hal bersifat peribadi.

Sebelum Guan Eng dipenjarakan pada tahun 1998, berlaku krisis politik dalaman di kalangan ahli parti. Ekoran daripada itu, Kerk meletak jawatan sebelum kembali aktif sebagai penyelaras kempen “Solidariti Demi Lim Guan Eng”.

Pada PRU tahun 1999, Kerk berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Melaka dan turut menjadi setiausaha agung yang keempat.

Demi memperkasakan jentera parti, beliau menggerakkan pembaharuan parti dari semasa ke semasa sewaktu pentadbirannya. Kerk melepaskan semua jawatan dalam parti selepas kekalahan DAP pada PRU tahun 2004.

Keputusan beliau jelas menggambarkan semangat keberanian dan kebertanggung jawaban dalam karier politiknya.

Sejak tahun 2002, Kerk yang didapati menghidap barah berusaha dan berfikiran positif dalam mendepani penyakit tersebut. Pada tahun 2015, beliau disahkan menghidap semula kanser rektum selepas 13 tahun menjalani kehidupan yang normal.

Pada 9 Ogos 2017, Kerk yang berusia 61 tahun meninggalkan kita buat selama-lamanya.