Kenyataan Media oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada 10.12.2017 di Komtar, George Town

Masa Hadapan Malaysia Akan Dirompak Oleh Perasuah, Kroni Dan Mereka Yang Menyokong GST, Sekiranya BN Berjaya Memenanginya Tanpa Maruah Berdasarkan Penipuan, Rasuah, Ketakutan, Kebencian Dan Ugutan.

Masa hadapan Malaysia akan dirompak oleh perasuah, kroni dan mereka yang menyokong GST sekiranya BN berjaya memenanginya tanpa maruah berdasarkan penipuan, rasuah, ketakutan, kebencian dan ugutan. Untuk memenangi pilihan raya umum akan datang, pemimpin UMNO akan terus menghasut kebencian berdasarkan agama dan bangsa dengan julukan berbaur perkauman seperti “Cina DAP”.

Ini merupakan kali pertama UMNO menyerang DAP dengan menggunakan perkataan Cina, iaitu politik perkauman yang dahsyat yang secara tidak langsung menyerang komuniti Cina. DAP tidak pernah menyerang UMNO sebagai Melayu UMNO atau PAS sebagai Islam PAS. Mengapa perlu meletakkan kesalahan terhadap keseluruhan komuniti hanya untuk memperoleh kelebihan politik?

Serangan keterlaluan ini sebenarnya menyembunyikan keadaan terdesak BN yang berkemungkinan besar akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang. Apa yang membimbangkan ialah Perdana Menteri sendiri mengeluarkan ugutan sedemikian dengan laungan perang yang penuh dengan kebencian dan ketakutan,

Sekiranya pembangkang memenanginya.. hak istimewa orang Melayu, sebagai orang asal tanah ini, daripada bangsa yang mulia dan bebas, akan dipijak maruah dan mereka (kedudukan) akan tergadai. Paling teruk, mereka akan merempat, disumpah dan dihina, sehingga mereka “terbangsat” di tanah sendiri”.

Ini merupakan pembohongan terang-terangan oleh Perdana Menteri. Tiada rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi orang Melayu yang akan menjadi ‘bangsat’ sekiranya Pakatan Harapan menang. Malah rakyat Malaysia akan mempunyai masa depan yang lebih cerah bebas daripada gejala rasuah, kronisme dan GST. Pendirian Pakatan adalah GST harus dihapuskan kerana GST memberikan kesulitan kepada rakyat. Kerajaan Persekutuan dijangka mengumpul RM40 bilion di mana RM40 bilion kurang dibelanjakan untuk rakyat.

Pulau Pinang telah membayar RM5,561.2 juta sejak tahun 2015. Sekiranya Kerajaan Persekutuan BN berdegil untuk enggan menghapuskan GST, maka jalan alternatif ialah menukar kerajaan. Tetapi dalam masa yang sama, Kerajaan Persekutuan harus memulangkan sebahagian kutipan wang GST kepada negeri-negeri berkaitan kerana beban kewangan yang besar telah dikenakan apabila banyak wang telah disedut daripada poket rakyat biasa.

Pulau Pinang membayar RM5,561.2 juta, ini bermakna rakyat biasa kekurangan RM5,561.2 juta untuk dibelanjakan. Adakah salah sekiranya meminta Kerajaan Persekutuan untuk memulangkan 50% daripada jumlah yang telah dibayar oleh Pulau Pinang untuk mengurangkan beban rakyat di Negeri Pulau Pinang di sini, sedangkan di Australia jumlah GST 100% yang dibayar akan dikembalikan sepenuhnya kepada negeri-negeri berkaitan.

Sama juga, tidak benar dan tidak berasas apabila Perdana Menteri mendakwa saya telah menentang pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), daripada kapasiti sekarang sebanyak 6.5 juta penumpang kepada 12 juta penumpang, sebagaimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2018. Saya telah mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas perbesaran yang sangat diperlukan kerana LTAPP telah mencatatkan 6.7 juta penumpang pada tahun 2016 dan dijangka akan melebihi 7.1 juta penumpang pada tahun ini.

Bolehkah Perdana Menteri membuktikan bahawa saya telah menentang atau mengundi untuk menentang cadangan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Parlimen? Dalam sesi parlimen yang lalu, saya telah mengundi menentang Perdagangan Dalam Negeri dan Industri kerana membantah kenaikan harga bahan api, tetapi tiada apa-apa kaitan dengan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Akhir sekali, Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein Onn turut mengejek saya kerana meminta bantuan Kerajaan Persekutuan semasa Pulau Pinang dilanda ribut dan banjir terburuk dalam sejarah negeri ini. Saya telah membuat siaran secara langsung di akaun Facebook saya pada jam 3.30 pagi pada pagi 5 November, selepas membuat panggilan telefon kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, untuk memaklumkan kepada mangsa banjir yang bantuan sedang dalam perjalanan, jangan putus asa dan hilang harapan.

Untuk Hishamuddin menyatakan sebaliknya adalah tidak benar kerana bantuan tentera hanya bergerak sepenuhnya selepas saya membuat panggilan kecemasan kepada Timbalan Perdana Menteri. Angkatan tentera tidak menerima arahan daripada Kerajaan Negeri, tetapi hanya Kerajaan Persekutuan. Saya mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri kerana menjawab panggilan saya pada jam 3.30 pagi dan menghantar angkatan tentera untuk membantu.

Kerajaan Negeri telah melakukan segala yang terdaya dan kami tidak malu untuk mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan Timbalan Perdana Menteri untuk menghantar angkatan tentera untuk memberi bantuan kerja-kerja menyelamat mangsa banjir. Saya berharap Perdana Menteri dan Hishamuddin akan menjawab panggilan saya pada jam 3.30 pagi sekiranya berlaku perkara yang sama. Sekiranya dengan berbuat demikian adalah salah dan memalukan, maka saya bersedia untuk dihukum dan dihina, kerana saya bersedia untuk melakukan perkara yang sama sekali lagi apabila perlu untuk membantu dan menyelamatkan rakyat.

Walaupun setiap parti politik mahu memenangi pilihan raya, menang dengan bermaruah untuk masa hadapan negara ini. Kemenangan tidak boleh diukur dengan nilai harga, tidak boleh mengorbankan bukan sahaja prinsip dan maruah, tetapi juga kebenaran dan asas moral demi negara kita. Jika tidak, bagaimana mahu membezakan kita dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pakar dalam perpecahan politik dan ketidakbenaran, dan seorang pemimpin yang Perdana Menteri pernah menjalinkan hubungan yang akrab tetapi kini mengutuknya pula.

LIM GUAN ENG