Kenyataan Akhbar Oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng Di Komtar, George Town Pada 2.12.2017.

Kerajaan Persekutuan harus memulangkan 50% daripada jumlah GST yang dikutip daripada negeri kepada rakyat negeri masing-masing kerana daripada RM5,561 juta untuk tahun 2015, 2016 dan akhir 2017 yang dikutip oleh rakyat negeri Pulau Pinang, tidak ada satu sen di pulangkan kepada rakyat. GST amat membebankan rakyat dan kita boleh bayangkan wang yang begitu besar kehilangan bila dikeluarkan daripada kocek rakyat dan juga pasaran swasta dengan bayaran RM5,561 juta kepada kerajaan persekutuan.

 

Pembayaran balik 50% kepada negeri masing-masing adalah munasabah kerana di Australia, semua pembayaran GST oleh negeri-negeri akan dipulangkan 100% kepada mereka. Oleh itu sekiranya Kerajaan Persekutuan dapat bertindak adil kepada semua negeri-negeri, malah mereka harus pulangkan 50% daripada pembayaran GST oleh negeri tersebut kepada rakyat mereka. Barulah kita boleh jaminkan pembangunan yang memberikan manfaat kepada rakyat. Dan pada masa yang sama Kerajaan Persekutuan boleh gunakan baki 50% bayaran GST untuk tujuan Kerajaan Persekutuan masing-masing.

 

Perlu ditanya apakah manfaat bayaran GST yang begitu besar ini untuk rakyat negeri Pulau Pinang. Tidak ada bantuan kewangan diberikan untuk mangsa banjir paling terburuk dalam sejarah Malaysia pada 4-5 November 2017? Daripada RM235 juta yang dibayar kepada mangsa banjir di seluruh Malaysia di antara tahun-tahun 2013-2017, Pulau Pinang menerima bayaran paling kecil sekadar RM35,500 sahaja ataupun hanya 0.015%.

 

Bayaran sekecil 0.015% amat menghinakan rakyat Pulau Pinang dan tidak lain tidak bukan boleh dianggap sebagai menganaktirikan, meminggirkan malah berdiskriminasi ke atas rakyat Pulau Pinang. Sudah sampai masanya kerajaan Persekutuan bertindak adil kepada rakyat Pulau Pinang dengan memulangkan sumbangan mereka, termasuk juga untuk negeri-negeri lain.

Jumlah sebesar RM5,561 juta untuk tempoh tak sampai 3 tahun yang dibayar oleh rakyat Pulau Pinang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri dalam jawapan bertulisnya di Parlimen kepada saya seperti berikut:-

 

Y.B.TUAN LIM GUAN ENG [BAGAN] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan jumlah pungutan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sejak ia dilaksanakan berdasarkan pecahan megikut negeri. Berapa banyak disalurkan kepada Pulau Pinang dan adakah Kementerian bercadang mengecualikan bayaran GST untuk projek awam, bukan untuk keuntungan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan seperti longkang, jalan dan pasar. Nyatakan jumlah yang dikutip daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.

 

JAWAPAN

 

Tuan Yang DiPertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kutipan cukai di sesuatu negeri termasuklah di Negeri Pulau Pinang adalah tidak menggambarkan sumbangan pendapatan secara langsung yang dihasilkan daripada aktiviti ekonomi di negeri tersebut. Ini disebabkan lokasi kutipan cukai oleh JKDM adalah berbeza dengan tempat di mana aktiviti ekonomi dijalankan atau negeri tempat operasi syarikat berdaftar GST.

Namun begitu, selaras dengan amalan pentadbiran aktiviti pengutipan cukai yang dibuat mengikut lokasi pembayaran, pengimportan serta pembekalan barangan dan perkhidmatan, kutipan mengikut lokasi masih masih direkodkan di peringat negeri-negeri. Jumlah kutipan GST di negeri Pulau Pinang bagi tahun 2015 dan 2016 adalah sebanyak RM1,400.9 juta dan RM 2,339.51 juta. Sehingga 16 Oktopber 2017, sebanyak RM1,820.78 juta telah dikutip.