Sepertimana sedia maklum, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengutamakan penyediaan perumahan mampu milik pelbagai jenis daripada RM42,000 hingga RM300,000 di kelima-lima daerah di Negeri Pulau Pinang, di mana di peringkat ini, 17 projek sedang, akan dan sedang dirancang untuk dibina yang akan melihat kepada 27,230 unit pelbagai jenis perumahan mampu milik disediakan khususnya untuk warga Negeri Pulau Pinang.

Saya berada di sini, di Batu Kawan untuk menyaksikan kemajuan pembinaan projek perumahan mampu milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang pertama iaitu di Bandar Cassia, khususnya Fasa 1 yang merangkumi 520 unit daripada keseluruhan 11,800 di dalam kesemua fasa projek perumahan mampu milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dirancangkan untuk dibina di sini.

Kali terakhir saya datang ke sini adalah genap satu tahun dahulu untuk memantau kemajuan projek ini. Pada hari ini, saya dimaklumkan bahawa kemajuan projek ini yang dimulakan pada Julai, 2014, dan yang dijangkakan siap pada Disember, 2017 adalah pada 99.83%, iaitu mengikut jadual.

Projek ini merupakan projek yang pertama yang akan melihat selesai pembinaannya dan saya difahamkan bahawa Sijil Pematuhan dan Penyiapan (CCC) dijangka pada akhir tahun ini. Ini menunjukkan prestasi yang begitu baik di pihak Kerajaan Negeri di dalam penyediaan dan penunaian komitmen Kerajaan terhadap usaha pembekalan perumahan mampu milik sepertimana saya nyatakan terlebih dahulu tadi.

Selanjutnya, saya juga difahamkan bahawa daripada 520 unit tersebut yang merangkumi 149 unit Rumah Mampu Milik Jenis ‘B’ (Kos Sederhana Rendah);  98 unit Rumah Mampu Milik Jenis ‘C2’ (RM168,000) dan 273 unit Rumah Mampu Milik ‘C3’ (RM220,000) masing-masing, sejumlah 86% RMM ‘B’; 73% RMM ‘C2’ dan 25% RMM ‘C3’ sudahpun berjaya dijual.

Unit-unit ini adalah bersaiz antara 850 kaki persegi sehingga 1,000 kaki persegi dan projek ini juga mempunyai kemudahan seperti padang bola sepak, gelanggang bola keranjang, tempat riadah dan senaman dan juga kad akses untuk setiap unit.

Ini menunjukkan permintaan untuk unit perumahan mampu milik adalah menggalakkan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan teruskan dengan usaha dan komitmennya untuk menyediakan unit-unit perumahan mampu milik pelbagai jenis ini, khususnya untuk rakyat Negeri Pulau Pinang.

Ini adalah berbanding dengan Kerajaan Persekutuan di mana mereka juga mempunyai projek perumahan mampu milik mereka sendiri iaitu melalui Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA). Adalah amat menyedihkan untuk saya nyatakan bahawa sehingga sekarang, sejak PR1MA digubalkan pada 2012 melalui Akta di Parlimen, tidak ada satu unit pun yang telahpun secara fizikal dibina di Negeri Pulau Pinang.

Adalah jelas sekali walaupun permohonan telah dibuat, ia adalah terlalu lewat kerana projek PR1MA seharusnya telahpun dirancang dan dimulakan amat awal lagi di Negeri Pulau Pinang, sepertimana boleh dilihat kepada perancangan projek perumahan mampu milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang sepertimana kita ada di sini hari ini, di mana saya boleh menunjukkan kepada semua bukan sehaja perancangan tetapi kemajuan fizikal sebenar unit-unit perumahan mampu milik tersebut yang tidak lama lagi akan melihat kepada merumahkan warga Negeri Pulau Pinang yang memerlukan perumahan mampu milik seperti ini.

Saya juga begitu hampa apabila merujuk kepada lawatan Perdana Menteri ke Pulau Pinang pada 17 Ogos 2017, yang kononnya menyatakan: (i) mereka hendak mengenal-pasti beberapa bidang tanah untuk pembinaan kononnya 10,000 unit perumahan mampu milik di Negeri Pulau Pinang oleh agensi persekutuan iaitu JKP Sdn. Bhd.; dan (ii) bahawa projek perumahan mampu milik yang dilawati beliau yang adalah berharga RM324,000 adalah harga mampu milik.

Berkenaan isu yang pertama, saya begitu hampa dan tidak boleh menerimanya kerana pada bulan April, 2013, Perdana Menteri telahpun datang ke Negeri Pulau Pinang khususnya pergi ke kawasan DUN Air Putih dan DUN Air Itam dan mengumumkan kononnya 9,999 unit perumahan mampu milik akan dibina. Saya menyoalkan beliau walaupun diumumkan sebegitu, tunjukkan kepada kita di Negeri Pulau Pinang di mana satu pun unit perumahan mampu milik sebegitu dibina di kawasan tersebut?

Berkenaan perkara yang kedua, ingin saya nyatakan bahawasanya di mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pemantauan Pelaksanaan Keputusan Majlis Perumahan Negara (JKPKM) telahpun dipersetujui bahawa keseluruhan had siling perumahan mampu milik telah ditetapkan pada RM300,000. Ini telahpun dipersetujui oleh semua negeri termasuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Persoalannya adalah mengapa di dalam lawatan beliau ke Sungai Nibong pada 17 Ogos 2017, unit perumahan yang berharga RM324,000 dikatakan harga mampu milik?

Di dalam apa keadaan jua, pihak kami mengalu-alukan pembekalan unit perumahan mampu milik yang benar-benar mampu milik di Negeri Pulau Pinang oleh Kerajaan Persekutuan memandangkan rakyat Negeri Pulau Pinang sememangnya membayar cukai yang begitu tinggi kepada Kerajaan Persekutuan iaitu ketiga tertinggi di Malaysia walaupun kita merupakan negeri yang kedua terkecil di negara Malaysia.

Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengulangi bahawasanya kita akan teruskan dengan pengutamaan pembekalan perumahan mampu milik untuk warga Negeri Pulau Pinang. Di mana Kerajaan Persekutuan telah gagal di dalam aspek ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan berjaya demi kepentingan rakyat Negeri Pulau Pinang.