Kenyataan Media oleh Chow Kon Yeow, Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang pada 27hb November 2017 (Isnin) di George Town, Pulau Pinang:

Sepertimana yang sedia maklum, selepas Pulau Pinang dilanda bencana ribut dan banjir pada 4hb dan 5hb November 2017, DAP Negeri Pulau Pinang telah mengambil inisiatif bagi melancarkan satu tabung yang dikenali sebagai Tabung Bencana Taufan dan Banjir Pulau Pinang pada 6hb November 2017, selepas menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan kewangan bagi membantu mangsa ribut dan banjir di negeri Pulau Pinang.

Tabung ini telah mendapat sokongan daripada orang ramai dan pada 9hb November 2017, penyerahan pertama telah dibuat kepada pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu sebanyak RM5 juta dari hasil kutipan tabung tersebut. Ini disusuli dengan penyerahan hasil kutipan kali kedua iaitu sebanyak RM3 juta pada 15hb November 2017 yang turut diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Selepas 15hb November 2017 iaitu hari penutupan bagi pengutipan derma tabung tersebut, ingin saya memaklumkan bahawa jumlah baki tabung tersebut adalah RM908,290.96. Ini bermakna bahawa jumlah kutipan daripada tabung yang dilancarkan tersebut adalah berjumlah RM8,908,290.96 dengan mengambil kira dua penyerahan yang dilakukan sebelum ini.

Sehubungan dengan itu, DAP Negeri Pulau Pinang akan turut menyumbangkan derma sebanyak RM91,709.04 kepada jumlah baki hasil kutipan tersebut. Pada hari ini, DAP Negeri Pulau Pinang akan membuat penyerahan terakhir iaitu sejumlah RM1 juta kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi membantu mangsa banjir dan ribut di Negeri Pulau Pinang.

Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kami kepada orang ramai yang telah menyumbang dan menghulurkan bantuan khususnya bantuan kewangan ini. Saya yakin dengan bantuan ini, ia akan membantu rakyat Pulau Pinang yang terjejas seakibat bencana ini bagi memulihkan keadaan kehidupan mereka dengan cepat.

Bangkit Pulau Pinang!
*Chow Kon Yeow*