KENAIKAN SUMBANGAN PROGRAM PENGHARGAAN WARGA EMAS DARIPADA RM100 KEPADA RM130 YANG AKAN DIBAYAR KEPADA SEMUA 174,247 ORANG MULAI 27 DAN 28 JANUARI 2018

Kenaikan sumbangan Program Penghargaan Warga Emas daripada RM100 kepada RM130 yang akan dibayar kepada semua 174,247 orang mulai 27 dan 28 Januari 2018.

Program Penghargaan Warga Emas Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah diperkenalkan sejak tahun 2009 untuk memberi penghargaan, pengiktirafan dan penghormatan kepada semua warga emas negeri tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Sejak program ini diperkenalkan, semua rakyat Pulau Pinang yang merupakan pengundi negeri ini dan berusia lebih 60 tahun layak untuk menerima sumbangan tersebut. Setakat tahun 2017, seramai 167,489 orang warga emas telah menerima manfaat daripada program ini.

Dalam Belanjawan Marhaen 2018, Kerajaan Negeri telah menaikkan bayaran sebanyak RM30 iaitu daripada RM100 kepada RM130 bermula pada tahun ini. Bagi pembayaran Program Penghargaan Warga Emas Fasa 1 Tahun 2018, seramai 174,247 orang akan menerima RM130 ini dan melibatkan kos sebanyak RM22,652,110. Kenaikan daripada RM100 kepada RM130 ini ialah sebagai pengiktirafan kejayaan urus tadbir CAT dalam meneruskan dividen ‘anti-rasuah’ kepada rakyat Pulau Pinang, khususnya warga emas.

Pembayaran Program Penghargaan Warga Emas pada tahun ini akan dibuat secara dua (2) sesi iaitu pembayaran khas dan pembayaran biasa. Perincian maklumat pembayaran adalah seperti berikut:

Perkara

Pembayaran Khas

Pembayaran Biasa

Tarikh Bayaran

20 hingga 26 Januari 2018

Sesi 1

27 dan 28 Januari 2018

Sesi 2

10 dan 11 Februari 2018

Lokasi

Pejabat Daerah dan Tanah

28 cawangan Maybank terpilih

KADUN

Penaga, Berapit dan Datuk Keramat

Semua kecuali Penaga, Berapit dan Datuk Keramat

Waktu Bayaran

9.00 pagi hingga 4.00 petang

10.00 pagi hingga 3.00 petang

Penerima yang layak, dikehendaki hadir membuat tuntutan pada waktu dan tarikh yang telah dinyatakan dalam surat panggilan dengan turut membawa kad pengenalan serta surat panggilan tersebut. Bagi tuntutan melalui wakil, mulai tahun 2018, wakil dikehendaki hadir membuat tuntutan wang selepas jam 12 tengah hari bagi mengelakkan kesesakan semasa sesi pembayaran dibuat. Wakil perlulah mendapatkan surat wakil (borang pelepasan tanggungjawab) yang boleh diambil daripada Pejabat KADUN/ Pejabat Daerah atau boleh juga terus mengisi borang berkenaan di lokasi pembayaran (dapatkan daripada pegawai KADUN bertugas). Bersama-sama borang ini, wakil juga perlu menyertakan salinan kad pengenalan penerima dan wakil sendiri serta surat panggilan bagi tujuan tuntutan.

Mana-mana pemohon yang tidak menerima sebarang surat panggilan, sila rujuk Pejabat Daerah masing-masing mulai 5 Feb 2018. Sekiranya tuntutan tidak dibuat sehingga tamat tempoh bayaran, maka pemohon akan disenaraikan kelak bagi pembayaran Program Penghargaan Warga Emas Fasa 2.

Program pembayaran ’emas’ ini adalah sebahagian daripada inisiatif Negeri Kebajikan yang dipelopori oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Saya difahamkan, ada penduduk di sempadan negeri yang mengubah daftar pemilih mereka, semata-mata untuk menikmati bayaran ’emas’ oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Maka, diharapkan negeri-negeri di bawah Kerajaan lain kecuali Selangor, boleh mengikuti program kebajikan yang dibuat oleh Selangor dan Pulau Pinang ini.

Kerajaan Negeri bersyukur atas sokongan rakyat yang teguh ke atas pentadbiran bersih berasaskan CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang diberi pujian oleh Transparency International dan Ketua Audit Negara saban tahun.

LIM GUAN ENG

By | 2018-01-25T06:03:10+00:00 January 25th, 2018|Media Statements|Comments Off on KENAIKAN SUMBANGAN PROGRAM PENGHARGAAN WARGA EMAS DARIPADA RM100 KEPADA RM130 YANG AKAN DIBAYAR KEPADA SEMUA 174,247 ORANG MULAI 27 DAN 28 JANUARI 2018

About the Author: