Lim Guan Eng: DAP Tidak Hanya Tertumpu Kepada Kaum Cina, Tetapi Semua Kaum
KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) — DAP tidak akan menumpukan kempen kepada kaum Cina sahaja pada pilihan raya kecil Bagan Pinang, walaupun menyedari undi daripada masyarakat ini boleh mengimbangi undi pos yang bakal diperoleh Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng berkata ini kerana kempen kali ini dijalankan secara berpasukan dan akan meliputi kaum India dan Melayu yang menjadi pengundi majoriti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
“Kita tidak akan khususkan kepada undi satu kaum sahaja, kita hendak tukar minda yang hanya cakap dari segi pengundi Cina. Kita mesti melihat dari segi pengundi Malaysia yang berbilang kaum,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan di sini, pada Ahad.
Beliau berkata mengenai peranan DAP dalam memenangi hati pengundi Cina pada pilihan raya kecil DUN itu bagi mengimbangi undi pos yang dikatakan bakal memihak kepada BN.
DUN Bagan Pinang mempunyai 13,644 pemilih berdaftar merangkumi 66 peratus pengundi Melayu, 19.9 peratus India dan 10.5 peratus Cina termasuk 4.604 pengundi pos.
Beliau berkata langkah tersebut bertujuan mengubah pemikiran lama yang menganggap sesebuah parti yang diwakili kaum Cina akan hanya fokus kepada masyarakat itu sahaja kerana beliau percaya semua pengundi mengambil berat mengenai isu yang sama tanpa berlandaskan kepada kaum dan agama.
“Saya rasa isu-isu yang mereka (pengundi) ambil berat adalah sama tanpa mengira kaum atau agama iaitu isu rasuah, ekonomi dan isu hak asasi,” kata Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Beliau turut mengakui pilihan raya kecil kali ini adalah satu pertandingan yang sukar buat PAS-DAP-PKR kerana BN dilihat mempunyai 70 peratus lebih peluang untuk menang.
Pilihan raya kecil pada 11 Okt itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang mewakili BN dengan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan.
Kerusi DUN Bagan Pinang yang dimenangi BN dengan majoriti 2,333 undi pada pilihan raya umum lepas kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor akibat jangkitan kuman dalam darah pada 4 Sept lepas.
– BERNAMA·04 Oktober, 2009 15:52 PM
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=444282#


Daftarlah Sebagai Rakan DAP! 



http://greenstate.penang.gov.my
