Pesta Ponggal Bukit Mertajam 2011
070211 | BUKIT MERTAJAM
Pada 30 Januari yang lepas, Pusat Khidmat YB Chong Eng, melalui kerjasama dengan pejabat ADUN Padang Lalang YB Michael Tan, JKKK Sri Rambai Fasa 1 dan KRT Taman Desa Damai telah menganjurkan Pesta Ponggal julung kalinya di Bukit Mertajam. Lebih kurang 150 orang peserta, kebanyakkan daripada masyarakat India di sekitar Bukit Mertajam telah mengambil bahagian dalam Pesta Ponggal tersebut yang bertempat di Dewan Orang Ramai Taman Desa Damai.
Antara lain, program Pesta Ponggal termasuk memasak nasi manis, persembahan kebudayaan India dan persembahan nyanyian.
50 buah keluarga telah mengambil bahagian dalam program memasak nasi manis dengan 50 belanga tembikar. Tapak pesta begitu meriah dengan laungan “Ponggal O Ponggal” setiap kali susu yang digunakan untuk memasak nasi manis mendidih dan melimpah keluar dari belanga. YB Chong Eng dan YB Michael Tan turut menyalakan api untuk memasak nasi manis dalam belanga tembikar utama.
Dalam ucapan beliau, YB Chong berkata, walaupun semasa Ponggal kita bersyukur kepada tuhan atas kurniaan yang diberikan, namun Rakyat turut berasa marah apabila melihat pelbagai kezaliman dan penyalahgunaan kuasa berlaku di negara kita. Justeru, beliau menyeru masyarakat India di Malaysia, khasnya komuniti Tamilan yang menyambut Thai Ponggal untuk menyahut peluang-peluang baru yang dibawa oleh bulan Thai ini bagi mengorak perubahan kepada diri, keluarga, komuniti dan negara.
YB Chong Eng turut menyatakan bahawa pelbagai kaum di Malaysia hidup dengan harmoni dan saling berkongsi budaya. Perpaduan sebenarnya jauh berbeza daripada retorik konsep 1Malaysia yang hanya baru-baru ini diwar-warkan oleh pemimpin Kerajaan Pusat. 1Malaysia yang dibawa Barisan Nasional adalah berasaskan ketuanan Melayu dan bukan perpaduan nasional yang Rakyat impikan selama ini. Beliau mengajak semua Rakyat supaya menolak menolak politik perkauman BN dan menyokong Pakatan Rakyat yang membawa satu politik baru yang menjamin keadilan kepada semua Rakyat Malaysia, tak kira kaum, agama ataupun gender.
Steven Sim
Pembantu Khas YB Chong Eng





Daftarlah Sebagai Rakan DAP! 



http://greenstate.penang.gov.my
