Ramasamy tuntut portal, wartawan mohon maaf
Timbalan ketua menteri 11 Pulau Pinang, P Ramasamy akan menghantar surat tuntutan terhadap sebuah portal berita dan wartawannya berhubung satu artikel yang didakwa memfitnahnya.
Peguamnya, RSN Rayer berkata notis tuntutan itu sedang disediakan dan akan diserahkan kepada Free Malaysia Today dan wartawannya Athi Shanker berhubung artikel bertarikh 22 Disember bertajuk ‘DCM II under probe for alleged cronysim‘.
Ramasamy (kiri) sedang mendapatkan penjelasan berhubung tulisan tersebut serta menuntut ia ditarik balik dan mahu permohonan maaf.
Portal berita itu telah melaporkan pengerusi DAP Karpal Singh sebagai berkata tuduhan yang dikemukakan oleh tiga individu terhadap Ramasamy adalah “cukup serius” untuk siasatan dijalankan terhadap timbalan ketua menteri itu.
Rayer berkata, beliau ada bersama Karpal ketika wartawan bertanya kepadanya mengenai tuduhan tiga individu tersebut dan Karpal hanya menjawab: “Kami akan meneliti perkara itu”.
Menurut tulisan tersebut, individu berkenaan – S Deventhiran, M Mahendran dan T Manogaran – telah menghantar surat kepada pucuk pimpinan DAP, mendakwa kroni Ramasamy telah diberikan kontrak kerajaan negeri.
Surat itu dilaporkan turut menyenaraikan nama sekurang-kurangnya 16 orang yang dikatakan kroni Ramasamy, termasuk dua pembantunya.
Rayer kata tuduhan itu berunsur menghasut, berniat jahat dan tidak berasas. Beliau turut mempersoalkan mengapa tiga individu tersebut tidak melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Soalan saya ialah mengapa mereka tidak berbuat demikian… (Adakah) kerana mereka tahu jika mereka buat dakwaan palsu, mereka boleh didakwa membuat tuduhan palsu,” kata Rayer, yang juga ADUN Seri Delime dalam satu sidang akhbar hari ini.
Rayer juga mendakwa ketiga-tiga mereka bukan pun ahli DAP seperti didakwa. Katanya, Mahendran pernah menjadi ahli cawangan Bagan Taman di Butterworth tetapi ia telah dibubarkan pada 2000.
Mengenai Deventhiran dan Manogaran pula, Rayer berkata, mereka tidak pernah menjadi ahli parti itu, malah cawangan mereka langsung tidak wujud.
MalaysiaKini - Susan Loone – Dis 29, 10
http://www.malaysiakini.com/news/151925




Daftarlah Sebagai Rakan DAP! 



http://greenstate.penang.gov.my
