Ucapan Steven Sim (Wakil Pemuda Pakatan Rakyat) dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Pulau Pinang 2010

Bahawa Konvensyen Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang menyokong satu resolusi untuk membina belia dan beliawanis yang berpengetahuan, bersahsiah dan dinamik agar dapat melibatkan diri dalam pembangunan negara dengan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun dan memantapkan peluang pendidikan, menghapuskan faedah untuk pinjaman pendidikan serta memantapkan tenaga pengajar cemerlang.

Komrad, Saudara Saudari,

Pemerintah tidak sukakan kemerdekaan pemikiran. Kemerdekaan yang sebenarnya bermula dengan kemerdekaan minda. Ini kerana mereka yang merdeka pemikiran tidak akan menjadi pengikut secara membuta tuli; mereka yang merdeka pemikiran tidak akan berdiam diri jika Pemerintah zalim. Mereka yang merdeka pemikiran tidak biarkan kekayaan Negara dirompak.

Itu sebabnya UMNO Barisan Nasional nak kongkong pemikiran Rakyat, terutamanya golongan muda. UMNO Barisan Nasional wujudkan satu undang-undang yang digelar AUKU – apa itu AUKU? Secara rasminya AUKU itu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Tapi bagi saya dan ratusan ribu mahasiswa di Malaysia, AUKU itu, AKTA UNTUK KONGKONG UNIVERSITI.

Pemerintah mau AUKU terutamanya untuk mengongkong anak muda kita di Universiti daripada menyertai diskusi politik masa depan Negara. Pemerintah sedar bahawa perubahan seringkali bermula daripada kebangkitan cendekiawan – ingat bagaimana kita merdeka dahulu, sebab adanya pendeta dan penulis yang menyemarakkan semangat nasionalisme melalui penulisan mereka seperti Syed Syeikh Al Hadi, Ibrahim Yaacob, Pak Sako, Ahmad Boestamam Dr. Buharnuddin Al-Helmi…Lebih dekat lagi, pada lewat zaman 90an, kebangkitan mahasiswa terutamanya di Universiti Gajah Mada Indonesia telah mendukung gerakan Reformasi sehinggalah jatuhnya rejim orde Baru Suharto.

Justeru Pemerintah takut lalu mengekalkan akta ini yang anti-demokrasi, zalim, dan menjatuhkan maruah mahasiswa dengan memencilkan mereka daripada budaya pemikiran dinamik dan kritis.

Kami Pemuda Pakatan Rakyat sebulat suara menyeru supaya dihapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 agar mahasiswa dan universiti kita dimerdekakan daripada kongkongan Pemerintah. Kami percaya hanya dengan melahirkan anak-anak muda yang merdeka pemikiran barulah Malaysia mampu bersaing dalam cabaran dunia pada dekad yang akan datang ini. Kita bukan sahaja ingin melahirkan generasi muda yang menjadi penjana ekonomi, tapi kita inginkan satu lapisan anak muda yang akan menjadi suara hikmat dan suara moral Negara kita. Manusia bukan sahaja mesin untuk membuat duit, tetapi kita dikurniakan minda dan pemikiran agar dapat menyusun sumber-sumber alam dan mengatur hubungan sesama manusia agar membentuk sebuah masyarakat yang madani. Tapi ini semua tidak akan tercapai jika mahasiswa terus dikongkong dibawah hegemoni Pemerintah.

Komrad, Saudara Saudari

Satu lagi isu yang saya ingin bangkitkan adalah tentang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ataupun PTPTN. Sedarkah anda bahawa Pemerintah UMNO Barisan Nasional mengamalkan system universiti tiga-kali bayar di Malaysia.

Jika seorang anak watan Malaysia ingin melanjutkan pelajaran ke universiti, beliau ataupun ibu bapa beliau terpaksa bayar kepada Pemerintah sebanyak 3 kali. Pertamanya kena bayar yuran kepada universiti; keduanya kena bayar bunga kepada PTPTN, dan ketiganya kena bayar lagi cukai seperti biasa.

Tanggungjawab Kerajaan adalah untuk menyediakan perkhidmatan pendidikan yang berkualiti kepada generasi muda Negara. Rakyat bayar cukai supaya perkhidmatan-perkhidmatan asas ini disediakan. Tetapi di Malaysia nampaknya, Pemerintah UMNO Barisan Nasional mengaut tiga kali bayaran daripada Rakyat Malaysia yang ingin belajar di Universiti.

Di manakah bernasnya kita pinjam wang kerajaan untuk bayar kepada Kerajaan? Dan dalam pada itu, dikenakan bunga dan faedah lagi daripada pinjaman tersebut?

Ketua Auditor Negara menyatakan bahawa pembaziran belanja Negara mencecah RM28 billion. Jumlah ini adalah kekayaan Negara yang terbuang begitu sahaja, bagaikan tertuang ke dalam longkang. Jika wang RM28billion ini digunakan dalam peruntukkan pendidikan, maka saya percaya, kerajaan boleh memberikan pendidikan universiti peringkat ijazah muda secara percuma kepada anak muda kita untuk tempoh masa 10 tahun yang akan datang.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak mengalakkan, di mana pelaburan langsung asing di Malaysia telah jatuh lebih 81% pada tahun 2009, ramai lagi graduan yang menggangur. Tambahan pula, gaji purata graduan yang baru memasuki pasaran kerja tidak meningkat dalam tempoh 20 tahun ini. Anak muda kita pada hari ini dibebani dengan kos kehidupan yang meningkat, masalah pengangguran dan masalah gaji yang rendah. Kini Pemerintah pula mendesak anak muda kita menanggung faedah pinjaman pendidikan.

PTPTN dikatakan menghadapi masalah peminjam membayar balik pinjaman mereka. Masalah pengutipan semula ini diakibatkan oleh pengurusan PTPTN yang lemah. Pemerintah tidak pula mengkaji semula pengurusan PTPTN dan sekali gus merombak system universiti tiga-kali bayar ini, tetapi sebaliknya Pemerintah sudah mula menghukum anak muda kita. Nama peminjam disenarahitamkan dan wang bunga kian meningkat.

Wang bunga ini digelar lain-lain nama, ada kala kos pentadbiran dan kini dipanggil upah. Tapi walau apa namaya, kami Pemuda Pakatan Rakyat mengecam keras riba yang diamal oleh Pemerintah bagi pinjaman pendidikan dan menyeru supaya riba ini dihapuskan. Kami juga menyeru supaya system universiti tiga-kali bayar ini diubah, jika UMNO Barisan Nasional tidak boleh ubahnya, maka Rakyat akan bangkit ubah kerajaan dan Pakatan Rakyat akan memastikan satu rombakan ke atas pendidikan universiti agar ianya berkualiti dan tidak membebankan Rakyat serta mampu melahirkan pemimpin masa depan yang bersasiah tinggi.

Komrad Saudara Saudari,

Sebelum saya mengakhiri ucapan debat saya, saya ingin menyeru supaya Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang sememangnya menitik beratkan isu pendidikan anak-anak muda supaya menubuhkan satu Universiti Pulau Pinang. Kerajaan Negeri patut mengambil inisiatif berdasarkan prinsip “Penang Leads” dan kita mulakan di negeri kita yang tersayang memungkinkan pendidikan universiti yang berkualiti tinggi serta mampu melahirkan warga global masa hadapan yang matang dan dinamik.

Cadangan saya ialah supaya Kerajaan Negeri boleh mengenalpasti dan menyatupadukan institusi-institusi pendidikan sedia ada di negeri ini dan mewujudkan satu consortium seperti Universiti of London yang menawarkan ijazah di bawah nama Universiti Pulau Pinang. Kita sudah pernah dengar tentang “Bandar universiti” di Eropah, saya menyeru agar negeri ini dijadikan “Pulau Universiti” yang pertama di dunia dengan wujudkan consortium Universiti Pulau Pinang.

Saya faham bahawa rancangan ini memerlukan kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan, tapi kita perlu cuba untuk melaksanakannya.

Jika Selangor mampu mewujudkan UNISEL, maka saya berpendapat Pulau Pinang juga mampu menubuhkan Universiti sendiri.

Pulau Pinang sememangnya mempunyai sejarah yang kaya dengan perkembangan intelektual dan memainkan peranan penting dalam sejarah kemerdekaan Negara. Cendekiawan dan pendeta seperti Gu Hong Ming, Syed Syeikh Al Hadi, Syeikh Muhammad Tahir, Syeikh Abdullah Fahim dan lain-lain lagi pernah menjadikan Pulau Pinang sebagai tapak mereka. Pulau Pinang mempunyai tempat yang ulung di Asia sebagai hub kebudayaan dan hub intellectual. Maka hari ini, di bawah pimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat, kami yakin, kegemilangan Pulau Pinang sebagai sebuah pusat intellectual dapat dipulihkan. Bermula dengan Universiti Pulau Pinang. Dan kita akan memberikan satu teladan kepada seluruh Rakyat Malaysia, terutamanya anak anak muda bahawa jika Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya kelak, inilah rombakan dan pembaharuan yang kita akan lakukan kepada system pendidikan universiti kita. Kita akan pastikan universiti kita merdeka untuk berfikir dan berijtihad, kita hapuskan system universiti tiga-kali bayar dan kita pastikan anak-anak muda kita bukan saja keluar dari universiti sebagai mesin menjana ekonomi tetapi akan menjadi suara hati dan suara hikmat masyarakat.

Dengan ini, saya mohon menyokong resolusi.

Steven Sim (wakil Pemuda Pakatan Rakyat), Bendahari DAPSY Pulau Pinang

VN:F [1.9.17_1161]
Rating: +2 (from 2 votes)
Be Sociable, Share!

Artikel lain yang berkaitan|其他相关报道|Other relevant posts

  1. Ucapan PAS dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Pulau Pinang 2010
  2. Ucapan Steven Sim (Wakil Pemuda Pakatan Rakyat) dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Pulau Pinang 2010 (This post)
  3. Resolusi-resolusi yang Diluluskan oleh Konvensyen Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang
  4. 槟州议会不随国阵大选解散 林冠英:交槟民联大会作主

Leave a Response