SUHAKAM perlu audit 2600 rumah kebajikan tidak berlesen
091110 | KUALA LUMPUR
Pertama sekali, saya ingin menyeru supaya SUHAKAM segera menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk meninjau keselamatan kanak-kanak di rumah kebajikan ataupun “shelter” di seluruh Negara. Pada 27 Oktober yang lalu, seorang remaja autistik bernama Brian Goh Kah Heng telah mati dipercayai menjadi mangsa penderaan fizikal dan seksual di rumah kebajikan yang tidak berdaftar. Seminggu selepas itu, seorang sukarelawan di sebuah lagi rumah kebajikan yang lain telah mengaku dia pernah mencabuli kehormatan sekurang-kurangnya 10 orang kanak-kanak di rumah kebajikan tersebut.
Mengikut laporan akbar the Star pada 21 Ogos 2008, Dato Seri Dr. Ng Yen Yen yang ketika itu merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyatakan bahawa terdapat lebih kurang 2600 buah rumah kebajikan seluruh Malaysia yang beroperasi tanpa berdaftar dengan kementerian ataupun mempunyai lesen yang berkaitan.
Saya ingin menanya apakah status rumah-rumah kebajikan ini sekarang? Saya tidak ingin menuding jari ke arah sesiapa, tetapi saya menyeru supaya SUHAKAM meninjau ke dalam aspek keselamatan dan kesihatan kanak-kanak di rumah-rumah ini. SUHAKAM perlu mengaudit rumah-rumah ini untuk memastikan segala aspek keselamatan dan kemanusiaan serta hak-hak kanak-kanak di situ terjaga.
Pecahkan Budaya Kesunyian, Tubuh Suruhanjaya Kesaksamaan Gender
Setiap hari dilaporkan 10 kes rogol berlaku di Malaysia dan separuh daripadanya melibatkan mangsa gadis di bawah umur 16 tahun. Kanak-kanak ini tiada suara pembelaan, seperti juga kes keganasan gender yang lain. Statistik sebenar jenayah seksual tidak diketahui kerana ramai yang tidak melaporkan kes mereka.
Rogol merupakan salah satu kes keganasan gender (gender-based violence) terhadap wanita dan gadis. Dalam satu kenyataan oleh UNFPA bertajuk “Ending Widespread Violence Against Women”, dikatakan bahawa:
Gender-based violence both reflects and reinforces inequities between men and women and compromises the health, dignity, security and autonomy of its victims. It encompasses a wide range of human rights violations, including sexual abuse of children, rape, domestic violence, sexual assult and harassment, tracfficking of women and girls and several harmful traditional practices. Any one of these abuse can leave deep psychological scars, damage the health of women and girls in general, including their reproductive and sexual health , and in some instances, results in death
Keganasan berasaskan gender mencerminkan ketidaksamaan gender antara lelaki dan wanita dan membawa kesan negative terhadap kesihatan, maruah, keselamatan dan hak autonomi mangsa-mangsa keganasan. Ia merangkumi pelbagai pencabulan hak asasi manusia, termasuk penderaan seksual terhadap kanak-kanak, rogol, keganasan rumah tangga, keganasan dan gangguan seksual, perdagangan wanita dan gadis dan beberapa lagi amalan tradisional yang memudaratkan. Setiap satu penderaan dan pencabulan ini akan meninggalkan kesan psikologi, kemudaratan kesihatan am wanita, termasuk kesihatan pembiakan dan seksual serta berpotensi membawa maut.
Keganasan terhadap wanita telah digelar pencabulan hak asasi manusia yang paling berleluasa tetapi tidak mendapat sebarang pengiktirafan serius untuk mencari penyelesaian.
Keganasan berasaskan gender juga bertujuan – sama ada secara niat ataupun secara akibat – untuk meneruskan kuasa dan kawalan lelaki. Ianya diteruskan oleh budaya kesunyian dan penafian tentang betapa seriusnya kesan pencabulan terhadap kesihatan”
Tuan speaker,
Rogol dan keganasan berasaskan gender selalunya dilihat sebagai isu wanita dan kita jarang mendengar Ahli Parlimen lelaki membincangkan isu yang serius ini di Dewan Rakyat. Bilangan ahli Yang Berhormat wanita adalah kecil berbanding lelaki. Justeru, untuk memecahkan budaya kesunyian keganasan berasaskan gender, dan untuk memberikan suara pembelaan kepada mangsa terlibat dan wanita secara amnya, saya menyeru supaya Perdana Menteri menubuhkan Suruhanjaya Kesaksamaan Gender.
Apabila Ahli Yang Berhormat Kepala Batas mengambilalih sebagai Perdana Menteri pada 2004, beliau telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesaksamaan Gender dan melantik pegawai-pegawai gred 54 dan ke atas sebagai gender focal point (GFP) bagi setiap kementerian. Kita tidak tahu sama ada Jawatankuasa dan GFP tersebut masih wujud dan apakah statusnya pada masa kini. Tapi satu perkara yang jelas, semua ini hanya wujud dari segi nama sahaja dan tidak berupaya memberikan apa-apa kesan kepada perjuangan kesaksamaan gender di Negara kita.
Pada tahun 2003, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah telah dipilih untuk menyertai projek fasa percubaan menyediakan bajet responsif gender atapun gender responsive budget untuk dimasukkan ke dalam bajet tahunan Kerajaan. Malangnya sehingga hari ini, dasar bajet responsive gender masih belum dilaksanakan dengan sepenuhnya oleh pihak Kerajaan.
Di samping itu, banyak undang-undang yang mendiskriminasikan gender masih belum digubal sebagaimana yang diseru oleh CEDAW. Sebenarnya, 15 tahun selepas CEDAW, Kerajaan masih enggan mengupayakan wanita sama ada dalam bidang politik ataupun ekonomi. Justeru, saya menyeru Kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Kesaksamaan Gender ini untuk membantu Kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar penyupayaan wanita dan seterusnya mencapai kesaksamaan gender di Negara ini.
Di sini, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Batu Sapi yang baru dipilih. Daripada menjadi wanita disebalik suaminya kepada wanita di hadapan sudah tentu merupakan satu perubahan drastic dalam hidup beliau. Beliau dan ramai lagi wanita lain seperti Dato’Seri Wan Azizah, Yang Berhormat Puan Betty Chew, Corazon Aquino, Megawati Sukarnoputri dan Chandrika Kumaratunge telah membuktinya bahawa wanita mampu menjawat jawatan tinggi termasuk sebagai pemimpin tertinggi Negara sekiranya diberi peluang. Justeru, kita mestilah memberikan peluang kepada lebih ramai wanita lebih awal dan bukan menolak mereka ke hadapan apabila si lelaki masuk penjara ataupun meninggal dunia. Kerajaan Barisan Nasional patut serius dan segara melaksanakan dasar sekurang-kurangnya 30% penglibatan wanita di semua peringkat pembuat keputusan.
Chong Eng
Ahli Parlimen Kawasan Bukit Mertajam
Artikel lain yang berkaitan|其他相关报道|Other relevant posts
- SUHAKAM perlu audit 2600 rumah kebajikan tidak berlesen (This post) (Nov 10, 2010)


Daftarlah Sebagai Rakan DAP! 



http://greenstate.penang.gov.my

This kind of matter is too complex for majority malay penangite to grasp with majority left over are not much of education.