Golongan Mak Nyah ialah Warganegara Malaysia juga, dengan Hak Perlembagaan untuk Bebas daripada Diskriminasi
(Ucapan Penangguhan Parlimen yang akan disampaikan pada 29 Jun 2010)
Kehadiran mak nyah dalam komuniti kita adalah satu realiti semasa yang tidak dapat disangkalkan. Tetapi pendekatan yang diambil Kerajaan telah meminggirkan golongan ini dan memaksa mereka untuk hidup dalam keadaan yang tidak menentu.
Dari segi keadaan sosio-ekonomi, golongan mak nyah seringkali tidak diberi peluang pekerjaan kerana pandangan pesong masyarakat terhadap mereka. Ketiadaan program kerajaan untuk membantu golongan minoriti ini terutamanya dari segi penempatan pekerjaan menyebabkan ramai mak nyah yang telah terjerumus ke dalam bidang dagang seks (sex trade).
Turut memudaratkan keadaan ialah apabila mak nyah boleh dijatuhkan hukuman di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Kanun Keseksaan 377 kerana cara pemakaian dan gaya hidup seks mereka. Media juga melaporkan bagaimana mak nyah yang ditahan telah dibuli dan dianiaya oleh sesetengah pegawai penguatkuasa yang tidak bertanggungjawab. Apabila sifat mereka ditafsir sebagai kesalahan jenayah, maka ini akan memaksa golongan mak nyah untuk terus memencirkan diri daripada masyarakat umum. Diskriminasi sistemik ini akhirnya menyebabkan pelbagai masalah sosial kerana tiada perhatian diberikan kepada aktiviti golongan ini.
Salah satu masalah ini ialah masalah kesihatan. Laporan UNGASS 2010 menyatakan bahawa setiap 4 orang mak nyah dalam 5 orang terlibat dalam aktiviti dagang seks. Kementerian Kesihatan meletakkan golongan mak nyah sebagai salah satu daripada 4 golongan yang berisiko tinggi menghidapi HIV/AIDS (golongan lain termasuklah penagih dadah yang berkongsi jarum, pekerja seks wanita dan golongan homoseksual lelaki). Risiko kes baru penyakit HIV/AIDS oleh golongan homoseksual yang juga termasuk sebilangan mak nyah telah meningkat dari 1.2% pada tahun 2000 kepada 5.3% pada 2009.
Dasar Kawalan AIDS Kebangsaan sering dicanggah oleh undang-undang sedia ada seperti undang-undang Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Kecil 1955 dan juga undang-undang syariah yang menghalang Kerajaan untuk membantu golongan mak nyah secara efektif terutamanya dalam mengawal wabak HIV/AIDS di kalangan mereka.
Justeru, saya ingin menyeru supaya Kerajaan tidak lagi mengambil sikap tidak peduli terhadap golongan mak nyah. Realitinya ialah golongan ini wujud dan merupakan warganegara Malaysia yang mempunyai hak perlembagaan bebas daripada diskriminasi. Undang-undang sivil mestilah dikaji untuk menyah-jenayahkan (de-criminalize) gaya hidup mak nyah jika ianya tidak mendatangkan bahaya kepada orang yang lain ataupun masyarakat secara umumnya.
Kerajaan telah bertekad untuk mewujukan satu masyarakat yang adil dan saksama melalui pendekatan inklusif dalam RMK10, saya ingin bertanya sama ada “inklusif” ini termasuk golongan minoriti seperti mak nyah dan apakah rancangan Kerajaan untuk melindungi hak kesamarataan peluang pekerjaan, hak bebas dari diskriminasi dan juga hak mendapatkan perkhidmatan kesihatan bagi golongan mak nyah ini?
Chong Eng
Artikel lain yang berkaitan|其他相关报道|Other relevant posts
- 弱智女遭性侵犯引关注 章瑛吁给予郭家协助 - Aug 9, 2010
- Lonely at the top for women in Penang government - Aug 1, 2010
- 批新经政策让扶弱政策背恶名 章瑛坚持固打能实现性别平等 - Aug 1, 2010
- Golongan Mak Nyah ialah Warganegara Malaysia juga, dengan Hak Perlembagaan untuk Bebas daripada Diskriminasi (This post) - Jun 29, 2010
- Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita Dalam RMK10 - Jun 28, 2010
- 鄭雨週:“跨性一族”論壇704舉行‧阿力夏答應當顧問 - Jun 27, 2010
- 郑雨周:若无反对声音 跨性别委会有望成立 - May 24, 2010
- 林冠英促修改法令 ‧ 延長產假至90天 - Apr 27, 2010
- Imbangi Gender Dalam Semua Bidang - Mar 25, 2010
- 章瑛:槟州政府明年拨20万 推行两性平等教育计划 - Nov 16, 2009






