Ng Wei Aik: Tiada Penambaikan Perkhidmatan, Tiada Kenaikan Tambang
Kenyataan Media oleh Y.B. Ng Wei Aik, Ahli Dewan Undangan Negeri bagi KOMTAR pada 3hb Ogos 2009 (Isnin) di Georgetown, Pulau Pinang:
Saya berasa amat kesal dengan sikap Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Penang Sdn. Bhd. Azhar Ahmad yang tidak memberi perhatian serius terhadap hasil soal selidik yang kami lakukan terhadap tahap perkhidmatan bas Rapid Penang malah sanggup menuruntarafkan perkhidmatannya untuk berbanding dengan syarikat-syarikat bas “pajak” yang lain.
Bas Rapid Penang hanyalah satu-satunya syarikat bas “bukan pajak” di Pulau Pinang, di mana perkhidmatannya mula diperkenalkan sejak 31 Julai 2007. Sempena dengan ulangtahun Rapid Penang yang kedua, saya berasa amat sesuai untuk menjalankan soal selidik dari segi tahap kepuasan pengguna-penggunanya terhadap perkhidmatan bas tersebut.
Adakah Rapid Penang sanggup menuruntarafkan diri untuk membuat perbandingan dengan syarikat-syarikat bas pajak yang lain, di mana syarikat-syarikat bas tersebut langsung tidak boleh dianggap sebagai syarikat bas yang sempurna dari segi modus operandi serta kualiti perkhidmatannya? Jikalau Rapid Penang berasa bangga dengan hasil perbandingan sebegini, ini merupakan sesuatu yang amat menyedihkan bagi warga-warga Rapid Penang.
Mengikut hasil soal selidik yang melibatkan 76 orang sebagai responden, 35.5% berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan manakala 53.9% berasa tahapnya adalah sederhana sahaja. Yang baki 10.5% responden pula tidak berpuas hati dengan tahap perkhidmatan Rapid Penang.
Dari segi ketepatan masa, 60.5% responden menyatakan bahawa bas-bas Rapid Penang kadang-kala lewat manakala 18.4% pula menyatakan bahawa bas-basnya sering tiba lewat. Yang lebih hairan lagi, terdapat 21.1% responden berpandangan bahawa tahap kelewatan bas Rapid Penang adalah amat serius.
Dari segi sikap pemandu, 22.4 responden berpuas hati manakala 2.6% amat tidak berpuas hati dengannya. Walau bagaimanapun, majoriti besar iaitu 75% responden berasa sikap pemandu-pemandunya adalah di tahap sederhana sahaja.
Hasil tinjauan tersebut adalah berdasarkan soal-soal selidik yang dilakukan dengan penumpang-penumpang bas Rapid Penang di atas bas atau semasa mereka menunggu di perhentian bas. Ini merupakan persepsi awam terhadap tahap perkhidmatan bas Rapid Penang yang tidak harus dipersoalkan oleh syarikat tersebut. Malahan syarikat tersebut perlu mengambil ikhtibar daripada hasil tinjauan tersebut untuk mempertingkatkan lagi tahap perkhidmatannya.
Tujuan soal selidik tersebut dilakukan adalah untuk mempertingkatkan lagi tahap perkhidmatan bas Rapid Penang dan bukannya bermotif jahat dengan mensasarkan Rapid Penang sahaja, seperti yang didakwa oleh Rapid Penang. Saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi KOMTAR sememangnya bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan pengguna-pengguna bas yang kebanyakan mereka merupakan warga kota Georgetown. Pendirian tetap saya terhadap Rapid Penang adalah tiada kenaikan tambang bas sebanyak 30% mulai 1 Ogos 2009 jikalau perkhidmatan bas kurang atau tidak memuaskan!
Dakwaan Rapid Penang bahawa perkhidmatannya tidak menepati jadual ekoran daripada lorong-lorong bas yang dikhaskan kepada Rapid Penang telah digunakan oleh bas-bas “pajak” yang lain atas sebab ketidakberkesanan penguatkuasaan adalah tidak berasas sekali. Sebenarnya, saya sering menerima banyak aduan daripada pengguna-pengguna Rapid Penang di tukarantara bas KOMTAR bahawa perkhidmatan bas Rapid Penang, khasnya bas No. 401 yang bergerak di antara Balik Pulau dan Weld Quay sering tidak menepati masa, adakalanya mereka terpaksa menunggu lebih dua jam untuk bas-bas yang seterusnya.
Jikalau Rapid Penang terus mengutamakan keuntungan sehingga mengabaikan laluan-laluan bas yang tidak dapat menjana keuntungan, keadaan ini tidak akan memanfaatkan pengguna-penggunanya. Sebagai satu-satunya bas “bukan pajak” di Pulau Pinang, Rapid Penang tidak boleh mengabaikan kepentingan rakyat jelata malah perlu memastikan laluan-laluan penting walaupun tidak menjana keuntungan yang lumayan tetap dapat dibekalkan perkhidmatan bas yang seperlunya.
NG WEI AIK


Daftarlah Sebagai Rakan DAP! 



http://greenstate.penang.gov.my
